UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak
IPOH - [DIKEMASKINI] UMNO sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP untuk membentuk kerajaan baharu di Perak sekiranya jajaran gabungan parti terdahulu tidak dapat diteruskan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, buat masa ini, UMNO seboleh mungkin mahu kerajaan yang dibentuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di bawah pimpinan menteri besar terdahulu dikekalkan.
"Namun kita tahu daripada kenyataan Setiausaha Agung Pas dan Bersatu, maka satu perikatan akan diambil oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan pembentukan kerajaan baharu di negeri ini.
"Ianya akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang terbentuk merupakan kerajaan yang lebih kukuh dokongannya," katanya kepada pemberita selepas menghadap sembah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini hari ini.
"Kita akan lihat semua kemungkinan, saya sebutkan seboleh mungkin kita kekalkan jajaran terdahulu, tetapi jika itu tidak dapat dilakukan, tentu ada penyesuaian yang harus dilakukan untuk penjajaran yang baru," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Perak perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal, Exco
Ahmad Faizal umum letak jawatan MB Perak
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan di peringkat pimpinan Pusat dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan PH berhubung perkara itu.
Di peringkat negeri katanya, perbincangan awal telahpun dilakukan oleh pimpinan UMNO dan BN negeri.
"Paling penting belanjawan negeri mesti dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan untuk itu, saya amat menghormati bahawa pentadbiran ini terus berjalan.
"Walaupun ada perubahan pucuk pimpinan, kita kena pastikan pentadbiran negeri berjalan seperti biasa," katanya.
Dalam pertemuan dengan Sultan Nazrin yang berlangsung kira-kira satu jam bermula jam 10 pagi tadi, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan mempersembahkan cadangan nama kepada baginda untuk diperkenan sebagai Menteri Besar Perak yang baharu sesegera mungkin sebaik perbincangan dengan beberapa pihak dimuktamadkan.
"Tuanku yang akan menentukan secara mutlak di bawah kuasa baginda sepenuhnya akan siapa yang diperkenan menjadi Menteri besar baharu," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas keterbukaan Sultan Nazrin yang berkenan menerima sembah maklum pemimpin-pemimpin utama parti politik di negeri ini.
"Keterbukaan Tuanku ini tentunya bagi menterjemahkan bahawa keputusan dibuat dalam Sidang DUN yang menolak undi percaya dikemukakan terhadap Menteri Besar sebagai satu proses demokrasi," katanya.
Malam tadi, Ahmad Zahid telahpun mengadakan pertemuan dengan Perhubungan UMNO negeri dan semua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang mewakili parti itu.
Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada BN 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, Parti Keadilan Rakyat 3, Parti Amanah Negara Amanah 5 dan masing-masing satu kerusi milik Gerakan dan Bebas.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid menghadap Sultan Nazrin
Bersatu akan buat keputusan bersama, kata Ahmad Faizal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!